KOLEJ KOMUNITI SEGAMAT

Pada 5 Julai 2000, Jemaah Menteri telah mempertimbangkan Memorandum No.398/2225/00 yang telah dikemukakan oleh Menteri Pendidikan tentang konsep penubuhan dan pelaksanaan Kolej Komuniti di setiap kawasan parlimen.

Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia akan menjadi institusi yang menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat dan memberi peluang pendidikan kepada lepasan menengah sebelum kepasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan keperingkat lebih tinggi.

Sebanyak 10 buah Kolej Komuniti rintis mula beroperasi pada pertengahan Jun 2001 dan 2 buah lagi pada bulan Disember 2001. Sehingga tahun 2007, sebanyak 35 buah Kolej Komuniti telah beroperasi di seluruh negara. Lebih banyak Kolej Komuniti sedang dirancang pembinaannya secara berfasa dalam Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran selaras dengan objektif penubuhan Kolej Komuniti. Pada Mac 2004 Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia ditukarkan di bawah naungan Kementerian PengajianTinggi Malaysia.

Kolej Komuniti Segamat (KKSEG) Kementerian PengajianTinggi Malaysia merupakan salah sebuah daripada Kolej Komuniti rintis. Ianya merupakan institusi pendidikan yang menyediakan latihan dan kemahiran kepada semua lapisan anggota masyarakat yang memerlukan dan memberi peluang kepada pelajar lepasan menengah, pekerja dan kumpulan-kumpulan lain dalam sesebuah masyarakat untuk melanjutkan pendidikan. KKS menawarkan kursus-kursus di peringkat sijil sepenuh masa dan kursus di peringkat Sijil Modular Kebangsaan (SMK) untuk lulusan SPM/SPM(V). Juga menyediakan khidmat latihan serta kemahiran kepada masyarakat setempat. Antara kursus yang ditawarkan untuk masyarakat setempat ialah Kursus Pendek dan Program Latihan 1 Malaysia, dimana ia menawarkan pelbagai kursus kemahiran.

Kolej ini mula beroperasi pada Jun 2001 di kampus sementara di Sekolah Menengah Teknik Segamat (SMT) sebelum berpindah ke kampus tetap di No. 24-34 Jln. Putra 1/1, Bandar Putra, 85000 Segamat, Johor. Di awal penubuhannya KKS menawarkan tiga jenis kursus iaitu Sijil Teknologi Elektrik, Sijil Penyenggaraan Bangunan dan Sijil Teknologi Automotif. Pengambilan pelajar pertamanya seramai 58 orang.

KKS telah berpindah ke premis tetap di Bandar Putra pada bulan Ogos 2002. Kini KKS dilengkapi dengan kelengkapan dan peralatan canggih untuk digunakan pada sesi pembelajaran dan pengajaran sesuai dengan perkembangan teknologi. Berbagai kemudahan disediakan untuk para pelajar seperti makmal, bengkel, kemudahan IT, kenderaan, perpustakaan, surau dan banyak lagi.