MAJLIS PELANCARAN KOLEJ KOMUNITI SATELIT @ PONTIAN

 

Pontian: Empat kolej komuniti di Johor akan dinaik taraf kepada kampus tetap dengan membabitkan kos peruntukan bernilai RM61.2 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, naik taraf itu membabitkan Kolej Komuniti Bandar Tenggara, Kota Tinggi; Kolej Komuniti Pagoh, Muar; Kolej Komuniti Parit Sulong, Batu Pahat serta Kolej Komuniti Simpang Renggam di Kluang.

 

"InsyaAllah seperti yang diluluskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), terdapat empat lagi kolej komuniti di Johor bakal mempunyai kampus tetap.

"Semua projek ini membabitkan kos atau siling peruntukan kira-kira RM61.2 juta. Tahniah rakyat Johor," katanya pada Majlis Pelancaran Kolej Komuniti Satelit@ Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut mengenal pasti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai satu daripada pemacu perubahan dalam memenuhi permintaan pekerja daripada pasaran serta pihak industri.

"Kerajaan sangat komited memperkasakan komuniti setempat melalui agenda TVET yang juga manifestasi kepada usaha kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.

"Ramai ibu bapa mempunyai persepsi negatif terhadap TVET dan ramai anggap TVET pendidikan kelas dua atau tempat untuk pelajar yang tercicir jika hendak bandingkan dengan negara maju, TVET menjadi pilihan utama.

"Justeru, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM6.6 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi berkaitan termasuk Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan berbincang dengan KPT dan Kementerian Kewangan untuk menukar status Kolej Komuniti Satelit di Pontian sebagai kampus kolej.

 

Kredit: Harian Metro